DUNGUN – Mayat seorang remaja warganegara Thailand yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam lubuk air di Kawasan Air Terjun Lubuk Kain, Hulu Terengganu semalam berjaya ditemui hari ini.
Mayat Sufar Jehteh, 18, dijumpai pasukan mencari dan menyelamat pada kedudukan kira-kira 300 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh pada pukul 10.10 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al-Muktafi Billah Shah berkata, mayat mangsa ditemui terapung di lokasi tersebut oleh beberapa anggota pasukan mencari dan menyelamat yang sedang melakukan operasi bermula pukul 8 pagi.
“Mayat mangsa telah dibawa naik ke daratan sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk dibedah siasat. Sebelum itu, operasi mencari dan menyelamat termasuk aktiviti penyelaman ditumpukan kepada kawasan sekitar lubuk air terjun terbabit,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.
Kosmo! Online kelmarin melaporkan Sufar mengunjungi kawasan perkelahan tersebut bersama 11 rakan lain termasuk enam perempuan untuk beriadah.
Dia dipercayai terjatuh ke dalam lubuk air terjun terbabit akibat tergelincir sewaktu duduk di atas sebuah batu di kawasan air terjun terbabit. – K! ONLINE











