KUALA LUMPUR – Sayonara Malaysia itulah ungkapan tepat yang boleh diberikan buat skuad bawah 16 tahun (B-16) negara untuk melakar kejutan ke atas Jepun pada aksi terakhir Kumpulan A Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tidak kesampaian apabila tewas 0-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pagi tadi.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan impian anak buah Lim Teong Kim untuk beraksi di Piala Dunia B-17 di Peru tahun depan berkecai apabila Jepun dan Tajikistan sahaja yang layak mara ke peringkat suku akhir selepas mereka mampu menundukkan Thailand 2-1 di Stadium Arena Universiti Malaya.
Pada aksi itu, Malaysia memerlukan kemenangan untuk melangkah ke pusingan suku akhir selepas tewas 2-4 kepada Thailand meskipun mereka telah menundukkan Tajikistan 6-2 pada aksi pertama minggu lalu.
Dalam aksi tersebut, Malaysia seakan menemui jaringan awal pada minit ke-18 perlawanan namun rembatan Muhamad Alif Mutalib yang agak lemah terus ke dakapan penjaga gol Jepun, Taiki Yamada.
Namun kesilapan pemain pertahanan Malaysia yang gagal mengeluarkan bola yang berada dalam kawasan bahaya berjaya dimanfaatkan Shoji Toyama untuk meletakkan Jepun didepan pada minit ke-36 perlawanan.
Bersambung babak kedua, pemain tengah Jepun, Hikaru Naruoka terus meleburkan angan-angan Malaysia apabila rembatan kencangnya dari luar kotak penalti mampu menewaskan penjaga gol Malaysia, Sikh Izhan Nazrel pada minit ke-90 sekali gus keputusan tersebut terus kekal sehingga tamat perlawanan.
Hasil keputusan selepas tiga perlawanan peringkat kumpulan, Malaysia kini menduduki kedudukan tercorot selepas tewas dalam dua perlawanan meskipun telah menundukkan Tajikistan pada aksi pembukaan. – K! ONLINE











