PSM mohon batal saman KL Karnival - Utusan Malaysia

PSM mohon batal saman KL Karnival

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Pengarah Urusan syarikat KL Karnival Sdn. Bhd. yang mahu menuntut hutang RM41.5 juta berhubung dakwaan melanggar kontrak sewaan tanah di Taman Sukan Extreme bagi Karnival Stadium Bukit Jalil.

Peguam Adnan Seman yang mewakili KL Karnival memberitahu pemberita, PSM memfailkan permohonan itu semalam atas alasan, PSM adalah badan berkanun yang diperbadankan di bawah Akta Perbadanan Stadium Malaysia 2010 yang dilindungi di bawah Seksyen 35 akta tersebut.

Menurut Adnan, permohonan PSM akan didengar oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada 26 November ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tarikh itu ditetapkan ketika pengurusan kes itu di hadapan Wan Ahmad Farid di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Pada 5 Julai lalu, KL Karnival selaku pihak plaintif dalam pernyataan tuntutannya menyatakan telah diberikan kontrak penyewaan tanah bermula 1 Januari 2017 hingga 31 Disember 2020.

Kerja-kerja tanah telah menelan belanja RM3 juta dan sebanyak 430 peniaga khemah dan 210 peniaga kontena telah membuat pembayaran bagi membolehkan plaintif membawa masuk kontena dan mempersiapkan tapak khemah serta memperindahkan kawasan tersebut.

Namun harapan pihak plaintif untuk memulakan perniagaan pada bulan Ramadan tidak dibenarkan sehingga mengalami kerugian besar RM41.5 juta dan mahu menuntut ganti rugi tersebut selain faedah lima peratus setahun dan kos khidmat guaman pelanggan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini