PUTRAJAYA 27 Sept.- Jabatan Imigresen berjaya menahan 32 pelacur warga asing dalam serbuan di sebuah premis dalam bangunan stesen bas lama di Jalan Tun Ali, Melaka pada pukul 8 malam semalam.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, 32 pelacur warga asing itu terdiri daripada 21 orang wanita warga Thailand, 10 wanita warga Vietnam dan seorang wanita warga Laos.
Beliau berkata, turut ditahan ialah seorang ‘bapa ayam’ warga tempatan selain dua lelaki warga Bangladesh yang bekerja sebagai penyambut tetamu dan pembantu premis berkenaan.
“Semua wanita terbabit dipercayai menjalankan pelacuran dengan bayaran RM175 bagi tempoh 45 minit, wang tunai hasil pelacuran sebanyak RM20,145.00 turut dirampas dalam operasi itu.
“Modus operandi mereka ialah bayaran perlu dilakukan di kaunter premis sebelum pelanggan dibawa ke tingkat enam oleh wanita warga asing untuk layanan seks,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











