Peluang buat pemain profesional - Utusan Malaysia

Peluang buat pemain profesional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSAINGAN lebih baik buat pemain-pemain kebangsaan selepas ini apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedia untuk membenarkan pemain profesional beraksi lebih kerap pada kejohanan utama di peringkat antarabangsa.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, perkara itu bagaimanapun masih di peringkat cadangan dan akan dibawa pada mesyua­rat Ahli Majlis BAM 28 Oktober depan.

Tambah beliau, meskipun badan induk sukan badminton negara itu sedang memperkemaskan struktur pemain nau­ngannya, namun BAM enggan menyekat peluang pemain-pemain lain beraksi di pentas lebih tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkara ini masih berada dalam cadangan dan akan dibawa ke mesyuarat Ahli Majlis bulan depan. BAM sedia untuk benarkan pemain-pemain profesional untuk menyertai kejohanan tahap dua hingga lima di pentas antarabangsa.

“Walaupun Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) cuba membentuk sistem lebih baik kepada pemain muda tetapi tidak adil untuk kita halang pemain-pemain lain daripada menyertai kejohanan lebih tinggi,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran tajaan dan Liga Korporat Purple League di Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Teong dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Purple League, Datuk Jack Koh.

Kata Norza lagi, pemain-pemain profesional itu juga perlu menepati kriteria-kriteria yang ditetapkan sekiranya mereka mahu beraksi pada kejohanan berkelas dunia termasuk Jelajah Dunia Super 500 dan Super 750.

“Sudah pasti ada syarat-syarat tertentu seperti ranking ke-200 dunia ke bawah kerana kita tidak mahu pemain-pemain yang dihantar sekadar tangkap muat. Mereka mesti menepati standard yang ditetapkan,” ujarnya.

Mengulas mengenai saingan Liga Purple yang bakal mema­suki musim kelima penghujung tahun ini, beliau mengakui kejohanan itu semakin menunjukkan peningkatan dari segi kualiti selain dianggap sebagai medan terbaik mencungkil bakat baharu badminton Malaysia.

Dalam perkembangan sama, Jack mengesahkan beberapa nama besar sukan badminton dunia sudah menyatakan minat untuk bersama-sama memeriahkan liga tersebut yang dijangka bermula Disember depan.

“Apa yang boleh saya beritahu, beberapa pemain ternama dunia sudah menyatakan kesudian untuk beraksi dalam saingan musim ini, namun ia hanya akan disahkan pada majlis diadakan kelak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini