KUALA LUMPUR 26 Sept. – Sistem kewangan Malaysia dijangka mampu kekal berdaya tahan meskipun berdepan tekanan ekonomi makro dan kewangan yang teruk berdasarkan ujian tekanan terkini yang dijalankan Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurut BNM, institusi kewangan buat masa ini berjaya mengekalkan jumlah penampan modal sebanyak RM135.9 bilion.
Katanya, BNM berwaspada dengan perkembangan domestik dan luaran yang boleh menjejaskan kestabilan kewangan domestik, termasuk langkah berjaga-jaga dalam keadaan kewangan global dan turun naik pasaran kewangan lebih tinggi.
“Pasaran kewangan dalam negara juga mengalami beberapa tempoh ketidaktentuan berikutan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Secara keseluruhan, sistem perbankan terus disokong permodalan kukuh, portfolio kredit dan tahap peruntukan yang berhemat,” katanya dalam Kajian Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2018 yang dikeluarkan BNM di sini hari ini.
Pada separuh pertama 2018, prestasi kewangan sistem perbankan kukuh dengan margin meningkat apabila bank mendapat manfaat daripada peningkatan kecekapan berterusan dan peningkatan kualiti aset.
Jumlah keseluruhan pinjaman terjejas (peruntukan rosot nilai individu bersih) menurun sebanyak 10 peratus kepada RM16 bilion atau satu peratus daripada jumlah pinjaman bersih.
Pulangan tahunan aset dan ekuiti stabil pada 1.5 peratus dan 13.3 peratus.
Ujar BNM lagi, prestasi pendapatan bank dijangka kekal baik susulan usaha berterusan bagi meningkatkan kecekapan operasi.
“Risiko yang timbul daripada hubungan antara institusi kewangan bukan bank (BFI) dengan sistem kewangan domestik kekal stabil secara meluas dan sebahagian besarnya dibendung.
“Risiko daripada pendedahan luaran dan operasi luar negara bank juga dijangka dapat dikawal,” katanya. – UTUSAN ONLINE











