Padah pecahkan alat kapit tayar DBKL, ahli perniagaan didenda - Utusan Malaysia

Padah pecahkan alat kapit tayar DBKL, ahli perniagaan didenda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Tindakan seorang ahli perniagaan memecahkan alat kapit tayar kemudian membalingnya ke arah anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana tidak berpuas hati apabila tayar keretanya dikapit akhirnya membawa padah apabila dia didenda RM1,400 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Zulkarnain Hashim, 44, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang didakwa dilakukan di Jalan 4/109F Taman Desa, Brickfields di sini kira-kira pukul 11.30 pagi, 3 September lalu.

Mengikut pertuduhan, Zulkarnain didakwa telah melakukan khianat terhadap harta milik DBKL dengan merosakkan alat kapit yang bernilai RM500. Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda ringan atas alasan ini merupakan kesalahan pertamanya namun Timbalan Pendakwa Raya, Noorelynna Hanim Abd. Halim memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran dengan mengambil kira faktor keselamatan awam selain tertuduh perlu menghormati hak awam.

Majistret Maizatul Munirah Abdul Rahman turut memerintahkan Zulkarnain menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh dibebaskan selepas isterinya menjelaskan denda tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini