Bekas pegawai IT didakwa akses dokumen syarikat tanpa kebenaran - Utusan Malaysia

Bekas pegawai IT didakwa akses dokumen syarikat tanpa kebenaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Seorang bekas pegawai teknologi maklumat (IT) di sebuah syarikat pelaburan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan melakukan capaian tanpa kuasa ke atas data dan maklumat syarikatnya, lapan tahun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelapan, Megat Mohammed Mahathir Vehicle, 42, didakwa telah melakukan capaian tanpa kuasa ke atas data dan maklumat syarikat melalui komputer miliknya.

Antara dokumen-dokumen yang diakses adalah borang EA (cukai pendapatan), gaji dan kertas kerja milik syarikat itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bapa lima cahaya mata itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di syarikat ICT terbabit di Technology Park Malaysia, Enterprise Park, Bukit Jalil di sini antara pukul 4.44 petang, 19 Februari 2010 dan 5 petang, 4 Mac 2010.

Kesemua pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Jazilah Mohd. Yushaa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM150,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan namun Megat Mohammed Mahathir yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan atas alasan dia perlu menanggung isteri dan lima anak.

“Saya kini bekerja sebagai pemandu teksi dan saya tidak mampu untuk membayar jumlah jaminan yang tinggi,” katanya.

Hakim M. Edwin Paramjothy membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 1 November ini untuk sebutan semula kes.

Tertuduh dibebaskan setelah membayar jaminan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini