PUTRAJAYA 26 Sept. – Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sehingga pukul 7.15 malam ini masih lagi berada di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) walaupun telah hadir sejak pukul 9.50 pagi.
Meskipun sudah kira-kira sembilan jam, Rosmah yang hadir bagi memberi keterangan kepada SPRM masih belum lagi dilihat beredar dari bangunan ini.
Sehingga kini, kira-kira 50 anggota media juga masih berada di luar lobi utama SPRM sejak dari pagi tadi bagi membuat liputan.
Semalam, sumber memberitahu, Rosmah akan dipanggil lagi oleh SPRM bagi memberi keterangan berhubung kes SRC International Sdn. Bhd., bekas subsidiari 1Malaysia Development Berhad ( 1MDB).
Kelmarin, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, pihaknya menyerahkan kepada Pejabat Peguam Negara sama ada untuk mendakwa isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor atau sebaliknya. – UTUSAN ONLINE











