KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara melahirkan rasa hiba dan tidak mampu menahan sebak ketika hadir ke Masjid Kampung Baru di sini bagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah.
Dalam keadaan teresak-esak, penyanyi lagu Kau Kekasihku itu meluahkan rasa sedih apabila mengetahui berita kematian Pak Ngah kerana Allahyarham telah dianggap seperti bapanya sendiri.
Katanya, dia mengharapkan agar industri muzik terus memberi sokongan kepada perkembangan muzik Irama Malaysia agar tidak lapuk dek hujan lekang dek panas.
“Apabila diberitahu tentang hal itu saya berasa sedih dan terkilan kerana selepas ini tiada lagi gelak ketawa yang sentiasa menceriakan suasana.
“Saya sendiri ada bercita-cita untuk mendapatkan khidmat beliau dalam menghasilkan lagu Irama Malaysia tapi nampaknya hasrat itu tidak kesampaian,” luah Siti.
Dalam pada itu, Siti turut tidak menolak untuk mengdakan konsert khas sempena memperingati perjuangan seni Pak Ngah terhadap industri hiburan.
“Buat masa sekarang saya tidak mampu untuk membuat sebarang keputusan kerana Pak Ngah baru sahaja meninggal dunia. Insya-Allah saya akan memikirkan sesuatu sebagai tanda penghargaan buat beliau”, jelas Siti.
Allahyarham meninggal dunia di Rumah Sakit Provinsi Kepri Tanjung Pinang, Batam, Indonesia akibat komplikasi jantung dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang di sini pada pukul 5.20 petang. – K! ONLINE











