KUALA LUMPUR 26 Sept. – Persepsi sempit bahawa undang-undang Islam hanya berkaitan hukuman hudud perlu diperbetulkan kerana istilah tersebut sebenarnya merangkumi pengertian yang lebih luas.
Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz berkata, semua undang-undang yang mempunyai elemen dan nilai-nilai Islam boleh difahami sebagai undang-undang Islam.
“Saya fikir dalam era ini, kita sudah tidak boleh menyifatkan undang-undang Islam itu hanya hudud. Undang-undang Islam yang kita faham itu sangat luas.
“Semasa saya di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), ramai sahabat saya yang menjalankan kajian dalam 11 bidang undang-undang mendapati memang ada elemen-elemen Islam di situ,” katanya dalam Program Diskusi dan Bedah Buku Pelaksanaan Undang-undang Islam di Malaysia: Khayalan atau Realiti di Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) di sini, hari ini.
Selain Shamrahayu, program tersebut turut menampilkan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IAIS Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dan Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Khairul Anwar Ismail selaku panel serta Felo Penyelidik Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik IKIM, Mohd. Noor Omar selaku moderator.
Buku Pelaksanaan Undang-undang Islam di Malaysia: Khayalan atau Realiti ditulis oleh Mohamed Azam dan diterbitkan oleh Ilhambooks. – UTUSAN ONLINE











