SEREMBAN 26 Sept. – Bekas Setiausaha Agung MIC Datuk S. Kumar hari ini mengumumkan keputusannya untuk tidak bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan seorang peguam dan juga mengambil kira MIC tidak meletakkan calon bagi kerusi tradisi itu yang dahulu dikenali sebagai Telok Kemang, dan UMNO juga tidak bertanding.
“Saya telah mengambil inisiatif penuh untuk turun ke peringkat akar umbi di Port Dickson dan seterusnya mendapati bahawa terdapat banyak masalah dan isu dihadapi oleh masyarakat India yang perlu diselesaikan.
“Ini memerlukan jentera yang padu..saya dengan ini meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkaji perkara ini secara serius,” katanya dan menambah beliau menawarkan bantuan dalam usaha menyelaraskan isu-isu tersebut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Oktober ini sebagai hari pengundian sementara penamaan calon ialah pada Sabtu ini.
Wakil rakyat kawasan itu Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson pada 12 September lepas untuk memberi laluan kepada Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR kembali ke Dewan Rakyat.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 17,710 undi, menewaskan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.
Ini adalah PRK keempat sejak PRU14. Tiga pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini ialah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong, semuanya di Selangor. – BERNAMA











