KUALA LUMPUR 26 Sept. – Seorang daripada calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Stevie Chan Keng Leong membentangkan manifestonya melalui laman Facebook dan Twitter miliknya hari ini.
Setakat ini, beliau merupakan satu-satunya calon Bebas yang mengumumkan hasrat untuk mencabar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam persaingan merebut kerusi Parlimen tersebut,
Stevie menyatakan beliau bertanding kerana tidak gemarkan ‘Langkah PD’ dilaksanakan PKR yang baginya bertentangan dengan semangat demokrasi.
Berikut adalah kandungan manifesto beliau:
Jika berjaya ke Parlimen:
1. Menyokong sepenuhnya manifesto Pakatan Harapan (PH) dan memastikan pentadbiran sekarang memenuhi janji-janji serta akan mengusulkan garis masa untuk setiap janji-janji utama.
2. Menekan supaya kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Parlimen untuk menilai dan membuat keputusan terhadap semua projek mega sedia ada atau akan datang.
3. Menjadikan ketidaksamaan kekayaan sebagai fokus dengan mengusulkan pengenalan cukai keuntungan modal (CGT), cukai harta warisan, dan cukai barangan mewah yang akan memberi impak kepada golongan isi rumah 10 peratus terkaya di Malaysia.
4. Mengusulkan supaya golongan isi rumah 20 peratus termiskin mendapat bantuan tunai bulanan yang terikat dengan komitmen seperti kehadiran di sekolah dan vaksinasi.
5. Mencadangkan penubuhan Majlis Penasihat Khas untuk Pendidikan, Pengurangan Kemiskinan, Golongan Terpinggir (khasnya Orang Asli), Seni dan Kebudayaan bagi menasihati dan mencadangkan penyelesaian kepada kementerian yang berkaitan.
6. Mengusul agar undang-undang pilihan raya dipinda bagi meletakkan penalti serta siasatan automatik dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada mana-mana wakil rakyat yang meletak jawatan tanpa sebab munasabah.
Untuk Port Dickson
1. Memastikan perancangan untuk pengenalan sistem pengangkutan awam dalam bentuk perkhidmatan bas yang selesa, murah dan boleh diharapkan menghubungkan Kuala Lumpur dan Port Dickson dilaksanakan.
2. Membangkitkan isu jenayah di Port Dickson, terutamanya kecurian, yang membelenggu penduduk.
3. Bekerja rapat dengan kerajaan tempatan dan Pusat untuk memastikan kebersihan Port Dickson terjaga.
4. Berpindah ke Port Dickson dan menjadi wakil rakyat sepenuh masa. – UTUSAN ONLINE











