Jenazah Pak Ngah selamat dikebumikan - Utusan Malaysia

Jenazah Pak Ngah selamat dikebumikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Suasana hiba dan hujan lebat mengiringi pengebumian komposer yang sinonim dalam penghasilan lagu Irama Malaysia, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang di sini petang ini.

Rata-rata ahli keluarga dan kenalan meratapi pemergian Allahyarham Pak Ngah yang sering mengangkat memartabatkan lagu Irama Malaysia di nusantara.

Pernah menyanyikan lagu hasil ciptaan Allahyarham bertajuk Nazam Berkasih, Syura atau nama lengkapnya Zuraidah Badron turut bersedih dan meratapi pemergian Pak Ngah pada usia 60 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya telah lama bekerjasama dengan Allahyarham. Sepatutnya saya merakamkan lagu raya baharu bersama Pam Ngah tetapi disebabkan beberapa perkara hasrat itu tidak terlaksana. 

“Kini lagu itu sentiasa terngiang-ngiang dan bermain di fikiran. Pemergiannya ini lantas menjadi satu kehilangan buat semua terutama penggiat muzik Irama Malaysia,” katanya yang ditemui di Masjid Jamek Kampung Baru di sini petang tadi.

Pada masa sama, penyanyi veteran popular, Datuk Nassier Wahab turut bersedih dan terkilan apabila hasrat untuk merakamkan lagu hasil ciptaan Allahyarham tidak kesampaian.

“Allahyarham kerap bertanyakan kepada saya sama ada ingin merakam lagu baharu. Namun, kesibukan kerjaya masing-masing membuatkan hasrat tersebut sentiasa tertunda sehingga ke hari ini,” ujarnya.

Allahyarham yang banyak menghasilkan lagu Irama Malaysia nyayian penyanyi popular tanah air antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, dan Wany Hasrita. 

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang di sini sebentar tadi. Beliau meninggal dunia di Rumah Sakit Provinsi Kepri Tanjung Pinang, Batam, Indonesia akibat komplikasi jantung. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini