SHAH ALAM 26 Sept.- Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan adik ipar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle Fund), Nazrin Hassan dan suaminya dilepaskan daripada tahanan reman selama empat hari.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman selepas pihaknya mendapati tiada alasan kukuh terhadap penahanan kedua-duanya individu terbabit selama empat hari.
“Alasan yang diberikan bersifat umum dan kedua-dua mereka boleh dipanggil untuk diambil keterangan tanpa perlu menahannya selama empat hari.
“Setelah melakukan semakan, saya memerintahkan kedua-dua mereka dilepaskan daripada tahanan reman hari ini selepas waktu bekerja,” dalam penghakimannya di sini.
Ahad lalu, adik ipar Nazrin dan suaminya ditahan dan dibenarkan direman selama empat hari sehingga esok terhadap kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 39 dan 41 tahun.
Pada 12 September lalu, dua anak tiri Nazrin turut dilepaskan daripada perintah reman selama tujuh hari.
Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat telah mengklasifikasikan semula kes kematian Nazrin sebagai kes bunuh.
Pada 14 Jun lepas, Nazrin dilapor meninggal dunia dipercayai berpunca daripada terhidu asap selepas kebakaran berlaku ekoran telefon bimbitnya yang meletup semasa mengecas di bilik tidurnya yang terletak di tingkat atas kediamannya di Mutiara Damansara, di sini. – UTUSAN ONLINE











