IPOH – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan menaiktaraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini hujung tahun ini untuk keselesaan orang ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak Tan Kar Hing berkata, penaiktarafan itu melibatkan apron parkir pesawat yang akan ditambah daripada tiga sekarang kepada lima.
Katanya, projek menaik taraf itu juga melibatkan laluan penumpang dengan penambahbaikan daripada tidak berbumbung kepada berbumbung selain mengasingkan pusat operasi pesawat.
“Kos keseluruhan bagi tiga projek ini berjumlah RM1.3 juta dan dijangka siap pada suku kedua tahun depan seterusnya memberi keselesaan kepada penumpang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke LTSAS di sini hari ini.
Kar Hing berkata, sebagai exco pelancongan, beliau akan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memaksimumkan penggunaan LTSAS.
Menurut Kar Hing, ketika ini tiga syarikat penerbangan beroperasi di LTSAS iaitu Malindo Air, Firefly dan FlyScoot, sebuah syarikat penerbangan tambang murah Singapura melibatkan laluan Johor Bahru, Medan, Indonesia dan Singapura.
Sementara itu, AirAsia akan mulakan penerbangan sulung ke Ipoh dari Johor Bahru pada 1 Okt ini.
“Secara purata di LTSAS mempunyai enam penerbangan sehari dan pada tahun 2017 kita menerima 276,086 kunjungan penumpang di sini sementara kapasiti LTSAS adalah 500,000 penumpang setahun,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus LTSAS, Mohd. Ali Osman berkata, penaiktarafan lapangan terbang itu bukan sahaja akan memberi keselesaan kepada penumpang, malah kepada syarikat penerbangan. – Bernama











