KUALA LUMPUR 26 Sept. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menamatkan kadar khas kompaun serendah RM20 kepada orang ramai yang melakukan kesalahan lalu lintas dan tempat letak kenderaan bermeter pada Ahad ini.
DBKL dalam satu kenyataan memberitahu, sejak tawaran itu dibuka pada 1 September lalu sebanyak 105,646 notis telah dijelaskan oleh pesalah trafik dengan bayaran berjumlah RM3.2 juta.
“Bagaimanapun, sehingga semalam notis yang masih belum dijelaskan adalah sebanyak RM4 juta. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar mengambil peluang ini sebelum kes dibawa ke mahkamah dan disenarai hitam.
“Pembayaran boleh dibuat di lokasi seperti kaunter bayaran dan kiosk DBKL, pejabat pos, aplikasi mudah alih DBKL Mobis dan portal dalam talian www.myeg.com atau e-bayar. – UTUSAN ONLINE











