JOHOR BAHRU 26 Sept. – Kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) perlu meletakkan keutamaan dalam penggunaan bahasa Melayu bagi setiap urusan rasminya.
Pesuruhjaya Pas negeri, Abdullah Hussin berkata, pihaknya memandang serius tindakan seorang ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam surat rasminya.
“Tindakan itu turut mendapat perhatian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menzahirkan kemurkaan baginda.
“Tiada sebab dan alasan untuk penggunaan bahasa lain selain bahasa Melayu seandainya rakyat negeri ini menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan harian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.
Baru-baru ini tular surat rasmi seorang Ahli MBIP yang tidak menggunakan bahasa Melayu sebaliknya menggunakan bahasa Mandarin. – UTUSAN ONLINE











