PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Baling yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan dua lagi individu ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan menerima rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor bagi satu projek Tabung Haji.
Dua lagi individu tersebut ialah abang kepada Abdul Azeez iaitu, Abdul Latiff serta sepupu mereka yang juga seorang pengarah syarikat yang dikenali sebagai Nazri Osman, 36.
Perintah reman selama lima hari bermula hari ini hinggga Sabtu ini dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).
Ketiga-tiga suspek diwakili peguam Datuk S. Devanandan dan Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.
Terdahulu Abdul Azeez, 52, dan dua individu berkenaan tiba di Mahkamah Majistret di sini pada pukul 10.30 pagi tadi dengan yang berpakaian baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) berwarna oren dan tangan bergari.
Abdul Azeez kelihatan sedih sebaik disambut oleh ahli keluarga dan penyokongnya yang melaungkan ‘Hidup Azeez Baling dan takbir ‘Allahuakhbar’.
Azeez, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 11.15 pagi semalam selepas hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan kes menerima rasuah.
Abangnya, Abdul Latiff yang juga pengurus besar sebuah syarikat pula ditahan di Sungai Buloh, Selangor 15 minit selepas itu.
SPRM pada Mei lalu pernah merampas wang tunai bernilai kira-kira RM1 juta dan barang perhiasan termasuk emas di beberapa lokasi yang mempunyai kaitan dengan Abdul Azeez.
Serbuan itu ada kaitan mengenai siasatan berkenaan satu projek seliaan Tabung Haji.
Dalam serbuan itu, sepasukan pegawai SPRM menyerbu empat lokasi termasuk dua kediaman Abdul Azeez di Sunway dan Baling serta pejabat TH serta Pejabat Kelab Putera 1Malaysia, di sini.
Wang tunai Ringgit Malaysia yang dirampas dipercayai sejumlah RM500,00 dan selebihnya adalah mata wang asing bernilai kira-kira RM500,000.
Antara mata wang asing dari negara seperti Britain, Vietnam, India, Korea Utara, UAE, Mesir, Eropah, Sri Lanka, Syechelles, Somalia, Myanmar, Afrika, Pakistan dan Qatar. – K! ONLINE











