PAC: Najib, Mohd. Irwan dan Guan Eng dipanggil beri penjelasan - Utusan Malaysia

PAC: Najib, Mohd. Irwan dan Guan Eng dipanggil beri penjelasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 Oktober depan bagi memberi penjelasan mengenai isu tuntutan tunggakan bayaran cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, selain bekas Perdana Menteri itu, PAC juga menetapkan tarikh pada 22 Oktober depan bagi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk hadir memberi penjelasan berhubung isu yang sama.

Kata beliau, PAC juga akan memanggil semula bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah pada 16 Oktober depan walaupun beliau telah hadir memberikan penjelasan kepada jawatankuasa itu pada 13 September lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jawatankuasa ini berharap dapat membuat rumusan dan memberi cadangan kepada kerajaan berhubung isu tuntutan bayaran GST berjumlah RM19.4 bilion ini apabila laporan PAC dibentangkan di Dewan Rakyat selepas ketiga-tiga mereka selesai memberikan penjelasan serta penerangan di hadapan PAC,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Guan Eng mendedahkan menerusi rekod Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang disahkan jumlah tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST lebih daripada dua minggu adalah RM19.4 bilion sehingga 31 Mei lalu.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai siasatan terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Ronald berkata, PAC juga bersetuju untuk memulakan semula prosiding terhadap syarikat milik Kementerian Kewangan itu seperti yang diputuskan Dewan Rakyat melalui usul Menteri Kewangan pada 16 Ogos lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini