KUALA LUMPUR – Bekas Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Syed Hamid Albar mengesahkan telah menghantar borang keanggotaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas beliau keluar dari UMNO.
Syed Hamid yang dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu menghantar borang keanggotaannya kepada Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
“Selepas menghantar borang keanggotaan tersebut, saya turut berjumpa dengan Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini.
“Saya kini sudah menjadi anggota Bersatu,” katanya dalam sidang media selepas program bersama Jawatankuasa Khas Malaysia Mengenai Kemanusiaan di sini hari ini.
Pada 29 Jun lalu, Syed Hamid Albar keluar UMNO dan menyatakan bahawa alasannya meninggalkan UMNO adalah kerana parti berkenaan sudah lari daripada perjuangan asal dan hanya mengutamakan kelangsungan peribadi pemimpin berbanding mengambil berat hal rakyat.
Mengenai tindakan Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon bagi Pilihanraya Kecil (PRK) di Port Dickson Syed Hamid berkata, itu adalah keputusan yang wajar dilakukan.
Beliau turut bersetuju dengan kenyataan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah bahawa UMNO masih belum bersedia dan tidak bermotivasi untuk bertanding di PRK Port Dickson. – Bernama











