Semangat di sebalik perang di Iraq - Utusan Malaysia

Semangat di sebalik perang di Iraq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KIRA-KIRA dua tahun lalu di Mosul, Iraq, kumpulan Daesh menawarkan pilihan kepada dua atlet paralimpik angkat berat berbakat Iraq, iaitu sama ada bertanding di Sukan Paralimpik Rio (Brazil) atau tinggal sahaja di bandar yang dikuasai mereka itu.

Mungkin ramai nampak pilihan tersebut bagaikan satu peluang keemasan kepada dua atlet berkenaan untuk melarikan diri. Tetapi, ia sebenarnya satu risiko yang amat besar.

“Tawaran itu datang dengan syarat kami gunakan bendera mereka berbanding bendera kebangsaan Iraq pada pertandingan sukan antarabangsa itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semua orang tahu ia satu permintaan yang mustahil untuk dipenuhi. Mana mungkin ada dua bendera berbeza untuk satu negara,” kata seorang atlet berkenaan, Faris al-Ajeeli, manakala seorang lagi bernama Thaer al-Ali.

Dua atlet berkenaan menyedari jika enggan berbuat demikian atau bertindak melarikan diri ketika berada di Rio de Janerio akan menyebabkan ahli keluarga mereka di Iraq menjadi mangsa balas dendam kumpulan pelampau itu.

Bagi mengelakkan situasi tersebut, dua atlet yang dijangkiti penyakit polio pada usia 40-an itu mengambil keputusan menarik diri daripada pertandingan tersebut.

“Walaupun kami terlepas beraksi hanya di Rio (2016), tetapi sebenarnya ia boleh menyebabkan seseorang ahli sukan hilang semangat dan tempat mereka diambil alih oleh atlet lain,” kata Thaer yang memenangi pingat perak di Sukan Paralimpik Beijing 2008.

Namun mereka bernasib baik apabila Jawatankuasa Paralimpik Iraq memahami situasi yang dihadapi kedua-dua atlet berkenaan.

Hasilnya, mereka tersenarai kembali dalam kontinjen paralimpik Iraq untuk pertandingan Sukan Paralimpik di Tokyo, Jepun pada 2020.

“Mereka berdua tidak dikenakan sebarang denda atau hukuman lain kerana mempunyai alasan yang baik apabila menolak panggilan untuk menyertai Sukan Paralimpik di Rio, Brazil lalu,” kata jurulatih kedua-dua atlet itu, Tamer Ghanem.

Untuk rekod, pada 2014, kumpulan Daesh menguasai Mosul dan menjadikan bandar kedua terbesar di Iraq itu sebagai pusat pemerintahan ‘Khalifah’ mereka.

TETAP BERLATIH

Tetapi di sebalik penguasaan Daesh itu, dua atlet berkenaan tidak membenarkan diri mereka untuk berputus asa. Semasa tinggal di bawah kumpulan tersebut, mereka meneruskan rutin latihan harian, di samping komitmen tetap kepada pekerjaan dan keluarga.

Hasilnya, pada Mei tahun lalu iaitu selepas Mosul ditawan kembali oleh tentera kerajaan, Faris terbang ke Eger, Hungary untuk menyertai satu pertandingan sukan angkat berat.

Dengan berpakaian pasukan kebangsaan Iraq, dia berjaya mengangkat bebanan seberat 215 kilogram (kg) dan memenangi pingat emas dalam kategori lelaki 107 kg.

Sebelum Mosul dikuasai kumpulan Daesh itu, beliau berjaya memenangi pingat di temasya paralimpik Beijing 2008, tahun 2006 di Malaysia dan di Athens (Greece) 2004.

SERBA DAIF

Walaupun Mosul telah dibersihkan daripada pengaruh kumpulan Daesh, pusat latihan sukan di bandar yang terletak di utara Iraq itu masih dalam keadaan daif.

Malah, Faris yang bekerja sebagai ahli kimia di Hospital al-Salam Mosul telah melakukan pengubahsuaian di tingkat dua rumahnya untuk dijadikan tempat latihan angkat berat.

Banyak kemudahan sukan musnah semasa peperangan antara tentera kerajaan dengan kumpulan Daesh itu. Kini, hanya ada dinding konkrit, pintu dan tingkap yang retak sana sini. Lapisan cat baru di dinding tidak berupaya menghapuskan kesan kerosakan.

Berdepan dengan suasana panas kerana ketiadaan pendingin hawa dan kekurangan tenaga elektrik untuk menghidupkan kipas menyebabkan atlet berasa cepat letih dan kepenatan.

Keadaan itu ditambah dengan larangan pasukan tentera kerajaan terhadap kemasukan semua jenis barangan ke wilayah utara negara itu, turut menyebabkan peralatan sukan tidak boleh dihantar ke Mosul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini