KUALA LUMPUR – Harga saham di Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini seiring dengan penurunan semalaman di Wall Street dengan pertelingkahan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China mendominasi sentimen, kata para peniaga.
Pada pukul 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.74 mata kepada 1,789.73 daripada paras penutup 1,794.47 pada Selasa, selepas dibuka rendah susut 5.47 kepada t 1,789.
Bagaimanapun, di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 119 berbanding 73, dengan 170 tidak berubah, 1,542 tidak diniagakan dan 98 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 101.09 juta unit bernilai RM45.49 juta.
Maybank IB Research dalam nota penyelidikannya berkata, pasaran mungkin meneruskan fasa penstabilannya berikutan kebimbangan semula terhadap konflik perdagangan manakala sentimen juga kekal berhati-hati menjelang keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) selepas mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan selama dua hari yang berakhir hari ini.
“Bagaimanapun, harga minyak yang kukuh dijangka terus memberi sokongan kepada saham minyak dan gas.
“Dari segi teknikalnya, kami menjangka FBM KLCI diniagakan antara paras 1,780 dan 1,810 hari ini. Paras sokongan rendah pada 1,780 dan 1,760,” kata firma penyelidikan itu.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank dan Tenaga turun empat sen setiap satu masing-masing kepada RM24.96 dan RM15.12, Petronas Chemicals susut 13 sen kepada RM9.28, CIMB Group menokok tiga sen kepada RM6.03 manakala Maybank tidak berubah pada RM9.80.
Bagi saham cergas, Vortex meningkat setengah sen kepada 8.5 sen, waran V.S Industry naik 1.5 sen kepada 30 sen manakala Sapura Energy, Borneo Oil dan Hibiscus Petroleum tidak berubah masing-masing pada 44 sen, enam sen dan RM1.18.
Indeks FBM Emas jatuh 19.26 mata kepada 12,494.07, Indeks FBMT 100 berkurangan 21.86 mata kepada 12,298.40 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 32.41 mata kepada 12,615.23.
Indeks FBM Ace menokok 17.71 mata kepada 5,210.58 dan FBM 70 menambah 15.21 mata kepada 14,769.44.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan jatuh 17.85 mata kepada 7,512.71 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.71 mata kepada 176.31 manakala Indeks Kewangan naik 12.90 mata kepada 17,819.77. – Bernama











