Siapa sepatutnya
‘ditendang keluar’ BN? - Utusan Malaysia

Siapa sepatutnya
‘ditendang keluar’ BN?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Tai dengan penuh angkuh menyatakan parti itu akan menyingkirkan UMNO daripada Barisan Nasional (BN) jika parti induk Melayu tersebut bergabung dengan Pas.

Kata Tiong Lai yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Bentong pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), BN akan memegang prinsip kesederhanaan. Jika ada sebarang parti komponen termasuk UMNO, bergerak ke arah perkauman, agama, teokrasi atau ektremisme, maka hanya ada dua pilihan. Pertama membubarkan BN kerana ia sudah tidak lagi menjadi gabungan keharmonian kaum dan kedua, `tendang’ UMNO keluar (BN).

Hebat sekali! Tetapi soalnya siapakah yang sepatutnya `ditendang keluar’? Sebuah parti yang menang hanya satu sahaja kerusi Parlimen atau sebuah parti Melayu yang memenangi 54 kerusi Parlimen?

Memuatkan artikel berkaitan…

Parti yang paling layak untuk `ditendang keluar’ ialah MCA kerana sudah terbukti tidak mampu memberi apa-apa kemenangan kepada BN, walaupun ketika BN berkuasa dahulu segala tuntutan atau permohonan MCA untuk pengundi Cina dipenuhi oleh kerajaan ketika itu.

Atas sebab itulah kalau betul beliau berpegang kepada semangat BN, Tiong Lai sepatutnya berhati-hati dalam membuat kenyataan,

Segala-galanya mahu disalahkan kepada UMNO seolah-olah MCA sebuah parti yang cukup hebat sedangkan semua orang tahu dalam kalangan pengundi Cina mereka melihat MCA sudah tidak relevan lagi. Kalau MCA hebat sudah tentu, tidak menang hanya satu kerusi sahaja.

Oleh itu tidak perlu Tiong Lai dan pemimpin MCA mahu ‘tunjuk lagak’ dengan memberi amaran kepada UMNO. Sepatutnya Tiong Lai bersabar dahulu dan melihat apa sebenarnya bentuk kerjasama antara UMNO dan Pas.

Janganlah membuat kenyataan yang boleh membangkitkan kemarahan pemimpin, ahli dan penyokong UMNO yang selama ini cukup bersabar dengan keceluparan pemimpin-pemimpin MCA sejak BN tidak lagi memerintah.

Jika Tiong Lai yakin MCA sudah cukup kuat dan tidak lagi memerlukan UMNO dalam BN, merekalah sepatutnya keluar BN bukannya mahu ‘tendang’ UMNO keluar daripada gabungan tersebut.

Selepas itu, sama-samalah kita saksikan siapakah yang sudi bergabung dengan MCA – sebuah parti yang mahu diukur dari segi keputusan pilihan raya sejak 2008 dilihat ‘ada pun tak untung, tak adapun tak rugi’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini