SEREMBAN 23 Sept. – Pusat tahfiz yang pengetuanya menghadapi pertuduhan jenayah seks seperti meliwat pelajar perlu ditutup sebagai satu bentuk tindakan tegas susulan perbuatan memalukan itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, tindakan itu wajar kerana pemimpin institusi tahfiz tidak sepatutnya terlibat dalam perbuatan keji yang bukan saja dilarang agama tetapi oleh apa jua fahaman dalam masyarakat.
Beliau berkata, amaran sudah berulang kali dibuat supaya jangan menggunakan nama baik agama termasuk institusi tahfiz untuk melakukan perkara dilarang agama dan masyarakat.
“Kalau siasatan polis menunjukkan ada bukti perbuatan keji, perlu ada tindakan tegas, tidak boleh biarkan orang berkenaan kembali mengajar kononnya atas nama tahfiz tidak mengapa kerana hendak belajar al-Quran.
“Kalau orang yang dituduh adalah pengetua, saya kata mungkin kita terpaksa tutup pusat tahfiz berkenaan kerana memalukan nama baik tahfiz dan sekolah lain kerana tanggapan buruk masyarakat terhadap institusi itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Seminar Fiqh Kewarganegaraan (Fiqh Muwatanah) Dalam Naratif Malaysia Baharu di sini hari ini.
Majlis perasmian seminar itu telah dirasmikan oleh Menteri Besar, Aminuddin Harun.
Mujahid diminta mengulas laporan pengetua sebuah pusat tahfiz yang didakwa meliwat dan mencabul sembilan pelajar lelakinya di Kepong, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, suspek berusia 30 tahun dituduh mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Mujahid memberitahu, beliau akan mendapatkan maklumat terperinci mengenai isu itu sebelum mengambil tindakan lanjut kerana ada mendengar tertuduh mungkin dibebaskan dengan ikat jamin dan kembali mengajar seperti biasa. – UTUSAN ONLINE











