Rampasan pil kuda terbesar di Kelantan - Utusan Malaysia

Rampasan pil kuda terbesar di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 23 Sept. – Polis Kelantan berjaya merampas sebanyak 1.182 juta biji pil kuda dianggarkan bernilai RM23.64 juta dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Banggol Setol, Pasir Mas, Khamis lalu.

Ketika serbuan pada pukul 1.15 pagi, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga kepada rumah yang dijadikan stor penyimpanan dadah tersebut.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, rampasan itu adalah yang terbesar di Kelantan setakat ini dan kejayaan tersebut adalah hasil maklumat orang awam yang disalurkan kepada pihaknya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, ketika serbuan dilakukan, polis pada mulanya menahan suspek yang bekerja sebagai pemandu lori di hadapan rumah terbabit.

“Seterusnya, pemeriksaan lanjut di rumah itu membawa kepada penemuan lima guni bertulisan Thai dalam sebuah bilik. Setiap satu guni itu mengandungi bungkusan kekuningan berisi pil-pil disyaki pil kuda.

“Jumlah keseluruhan bungkusan adalah sebanyak 197 manakala pil yang terkandung di dalamnya dianggarkan berjumlah 1.182 juta biji dengan nilai pasaran semasa mencecah RM23,640,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Hasanuddin dalam pada itu memberitahu, antara harta yang disita pihak polis dalam serbuan terbabit ialah sebuah kereta Perodua Kancil dan sebuah televisyen.

Kata beliau, siasatan awal mendapati bekalan dadah yang diperoleh dari negara jiran adalah untuk diedarkan di sekitar Rantau Panjang serta Kota Bharu dan kegiatan jenayah tersebut dipercayai aktif sejak Ogos tahun lalu.

“Suspek didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala saringan air kencing ke atasnya didapati negatif. Dia direman selama seminggu mulai 20 September.

“Polis masih meneruskan siasatan untuk mengesan dalang sebenar sindiket ini dan ahli-ahlinya yang lain,” katanya sambil memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini