KUALA TERENGGANU 23 Sept. – Kerajaan negeri mengumumkan 30 September ini sebagai cuti peristiwa susulan kejayaan kontinjen Terengganu muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) 2018, malam tadi.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, cuti berkenaan bagi meraikan kemenangan di samping sebagai tanda penghargaan kepada semua pegawai dan atlet Sukma serta rakyat Terengganu yang turut sama menyokong misi merampas kembali gelaran juara kejohanan itu.
“Kejayaan kontinjen negeri merampas kembali gelaran juara ini sekaligus melunaskan ‘Win Back Mission’ yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan. Tahniah sekali lagi kepada semua pihak yang terlibat dalam catatan sejarah ini.
“Harapan saya kejayaan ini dapat membawakan roh riadah dan menggalakkan lagi aktiviti bersukan kepada rakyat Terengganu dalam menjalani gaya hidup yang sihat dan sejahtera,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ini adalah kali kelima Terengganu mengungguli temasya yang memasuki edisi ke-19, sekali gus mengetepikan dua kuasa sukan tanah air, Wilayah Persekutuan (52 emas, 38 perak dan 50 gangsa) dan Selangor (47 emas, 68 perak dan 67 gangsa)
Ahmad Samsuri turut mengucapkan tahniah kepada atlet olahraga anak negeri, Azreen Nabila Alias yang dinobatkan sebagai Atlet Wanita Terbaik Sukma 2018.
Terdahulu, beliau berkata, majlis meraikan Juara Sukma 2018 bersama kontinjen atlet serta pegawai akan diadakan pada pukul 5 petang ini di Dataran Batu Burok, di sini.-UTUSAN ONLINE











