PUTRAJAYA 23 Sept. – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa penyusutan sebanyak 96 peratus atau RM11.41 bilion di dalam Akaun Hasil Disatukan untuk tempoh bermula 31 Disember 2017 sehingga 30 April lalu telah digunakan oleh Barisan Nasional untuk memenangi pilihan raya umum lalu.
Menurutnya, pada 31 Disember 2017, sejumlah RM11.86 bilion di dalam akaun berkenaan telah merosot kepada RM450 juta pada 30 April berikutan perbelanjaan yang berlebihan untuk tempoh empat bulan dari Januari 2018 hingga April 2018.
“Jelas, ini adalah “perbelanjaan pilihan raya umum” yang digunakan untuk cuba membantu Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Guan Eng baru-baru ini mendakwa sejak Kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran pusat pada 9 Mei lalu, kedudukan kewangan di dalam Kumpulan Wang Disatukan yang belum diaudit setakat 30 April adalah RM35.5 bilion dan daripada jumlah tersebut, cuma terdapat RM450 juta dalam Akaun Hasil Disatukan yang belum diaudit.
Walau bagaimanapun pada 6 September lalu, Najib menjelaskan mengikut penyata akaun kerajaan dari Akauntan Negara Malaysia bagi akhir tahun 2017 yang diterbit dan diumumkan secara awam, baki Akaun Hasil Disatukan bukan RM11.41 bilion sebaliknya berjumlah RM18.064 bilion dalam bentuk wang tunai dan simpanan tetap jangka pendek. – UTUSAN ONLINE











