LUMUT 23 Sept.- Seramai 200 ahli PKR Cabang Lumut hadir di Dewan Himpunan Cina di Sitiawan di sini untuk mengundi hari ini kerana tidak tahu pengundian ditangguhkan.
Calon Ahli Jawatankuasa Cabang PKR Lumut, M. Bohaneshawaran berkata, mereka datang kerana tidak mengetahui pengundian ditangguhkan selepas pengumuman mengenainya dibuat pada lewat malam semalam.
“Mereka datang sejak pukul 8 pagi lagi ke tempat mengundi kerana tidak tahu penangguhan tersebut yang dibuat terlalu lewat.
“Mereka terpaksa meninggalkan kerja dan datang ke tempat mengundi, ramai yang datang berasa kesal tidak dimaklumkan lebih awal,” katanya.
Sementara itu, seorang ahli PKR, Arumurrugan, 42 berkata, dia bersama rakan-rakan datang seawal pukul 8 pagi lagi untuk mengundi.
“Kebanyakan pengundi yang datang adalah daripada golongan warga emas kerana mereka tidak mendapat maklumat mengenai penangguhan tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE











