IPOH 21 Sept. – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dilaporkan hilang ketika berbasikal dekat rumahnya Bandar Baru Putra, Bercham dekat sini pagi tadi ditemukan selamat.
Kanak-kanak itu, Ahmad Aqil Akbar ditemukan oleh orang awam di sebuah kawasan perumahan di Kuala Kangsar.
Bapa kanak-kanak itu, Zaid Mohamed Hashim, 38, berkata, dia dihubungi oleh seorang wanita pada pukul 2 petang mengakui menemukan kanak-kanak lelaki yang menyerupai anaknya di sebuah kawasan perumahan Taman Harmoni di Kuala Kangsar.
Menurutnya, wanita tersebut turut menghantar gambar kanak-kanak yang ditemukan itu dan mengesahkan itu anaknya.
“Saya berasa lega dan bersyukur kerana anak saya sudah ditemukan.
“Sejak dia hilang, saya tidak dapat berfikir kerana terlalu bimbang, dia satu-satu anak kami,” katanya ketika ditemui di sini. – UTUSAN ONLINE











