MELAKA 21 Sept. – Seorang penjual buah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan mendera dua orang anak lelakinya pada bulan lalu.
Aw Kok Yan, 47, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa telah menganiaya anak sulungnya berusia 7 tahun dengan memukul tangan, dada dan menampar kanak-kanak itu. Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengasari anak keduanya berusia 5 tahun dengan memukul tangan dan melempar puntung rokok ke arah mangsa.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Pengkalan Rama Pantai di sini kira-kira pukul 8.30 malam pada 13 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya. Dia juga boleh dikenakan arahan bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama tempoh yang ditetapkan mahkamah selain melaksanakan khidmat masyarakat.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban meminta mahkamah tidak mengenakan ikat jamin terhadap tertuduh kerana bimbang mangsa akan didera lebih teruk berikutan mereka masih tinggal bersama.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya mahkamah membenarkan dia dibebaskan dengan jaminan yang rendah dengan alasan perlu berkerja bagi menanggung keperluan isteri serta dua anaknya itu.
Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Elesabet membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan penjamin adalah isterinya selain menetapkan 23 Oktober depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam. – UTUSAN ONLINE











