IPOH – Raja Pecut Sukan Malaysia (Sukma) 2018, Muhammad Aqil Yasmin memperbaharui rekod kejohanan bagi acara 200 meter (m) lelaki dengan catatan masa 21.01 saat (s), sekali gus memadam pencapaian jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan.
Pencapaian itu sekali gus memperbaharui catatan Khairul Hafiz yang memegang rekod kejohanan dengan masa 21.03s pada Sukma 2016 di Sarawak.
Bagaimanapun, rekod kebangsaan masih kekal milik atlet Melaka itu apabila Khairul Hafiz mencatatkan masa terpantas 20.90s ketika beraksi pada Terbuka Malaysia dua tahun lalu.
“Jurulatih harapkan saya untuk memperbaharui catatan masa peribadi terbaik dan hari ini (semalam) saya memperoleh kejayaan berganda selepas turut berjaya memperbaharui rekod Sukma.
“200m merupakan acara kegemaran saya. Saya memberikan tumpuan sepenuhnya semasa memulakan larian hingga berjaya mencecah garisan penamat dengan masa terpantas,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Dalam perkembangan sama, Aqil mengakui dia dapat menarik nafas lega selepas berjaya menamatkan penantian dua tahun untuk merangkul pingat emas acara 100m dan 200m.
Atlet berusia 20 tahun dari Klang itu meraih pingat perak bagi acara 200m dan tempat keempat untuk acara 100m.
Selasa lalu, Aqil dinobatkan sebagai raja Pecut Sukma 2018 selepas mengungguli acara 100m dengan catatan masa terpantas 10.39s.











