IPOH – Kerajaan negeri akan membina sebuah Santuari Gajah Perak di dalam kawasan seluas 40 hektar di Kilometer 20, Jalan Raya Gerik-Jeli yang bersempadan dengan negeri Kelantan.
Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, pembinaan santuari itu merupakan satu projek yang penting selepas melihat masalah hidupan gajah di kawasan tersebut.
Jelasnya, gajah liar di kawasan itu juga mengancam nyawa penduduk di sekitar Pos Kemar dan Hutan Royal Belum malah kebun serta ladang mereka turut dimusnahkan oleh haiwan tersebut.
“Kita telah memberi cadangan kepada pihak kerajaan persekutuan dalam usaha untuk mengurangkan gangguan gajah liar di kawasan-kawasan penempatan luar bandar.
“Kerajaan negeri juga bersedia untuk membantu kerana ini bukan masalah negeri malah ia juga masalah negara. Jadi, apa yang dirancang oleh pihak kerajaan Persekutuan perlu diberi sokongan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar mengadakan kunjungan hormat ke pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Terdahulu, projek Santuari Gajah Perak itu menelan belanja sebanyak RM28.8 juta yang merangkumi pembinaan kompleks penternakan gajah seperti padang kecil, klinik, stor makanan, kemudahan pejabat, makmal penyelidikan, pusat interpretif dan galeri.
Sementara itu, Xavier berkata, berkata, santuari gajah itu di Perak itu merupakan santuari gajah kedua di negara ini selepas Santuari Gajah Johor.
Jelasnya, pembinaan santuari haiwan tersebut dijangka akan bermula tahun depan dan lokasi yang dicadangkan oleh kerajaan negeri amat sesuai untuk projek tersebut. – K! ONLINE











