KUALA LUMPUR 20 Sept. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini sebentar tadi diiringi sepasukan anggota polis.
Najib yang tiba kira-kira pukul 1.49 petang kelihatan tenang dan tersenyum ketika masuk ke pekarangan kompleks mahkamah tersebut.
Beliau yang bersut warna gelap itu sempat mengangkat tangan apabila para pengamal media terutamanya jurugambar menyapanya.
Peguam utama Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah tiba di mahkamah 10 minit kemudian.
Bekas Perdana Menteri keenam itu dijangka berhadapan dengan 21 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Pertuduhan-pertuduhan berkenaan adalah sembilan pertuduhan melibatkan penerimaan wang haram, lima pertuduhan melibatkan penggunaan wang haram dan tujuh pertuduhan pemindahan wang haram ke entiti lain. – UTUSAN ONLINE











