KUALA NERUS 19 Sept. – Seramai 2,710 graduan diraikan dalam Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Zon Pantai Timur Kali Ketiga yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, di sini.
Mereka termasuklah kalangan graduan program Diploma Teknologi Elektrik, Diploma Teknologi Elektronik, Diploma Teknologi Pemesinan Industri, Diploma Teknologi Mekatronik, Diploma Teknologi Plastik, Diploma Pengurusan Perniagaan dan Diploma Teknologi Pembinaan dan Diploma Seni Kulinari.
Mereka merupakan kalangan 14,273 graduan melibatkan 98 institusi termasuk Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan institusi kemahiran swasta di seluruh negara menerima Diploma Vokasional Malaysia mengikut program masing-masing.
Perasmian majlis dan penyampaian dalam sidang sesi pagi disempurnakan oleh Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi A. Latiff.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pengoperasian Sekolah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional merangkap Pengerusi Jawatankuasa majlis konvokesyen itu, Datuk Haidzir Hussin; Yang Dipertua Majlis Pengarah Kolej Vokasional Malaysia, Hashim Puteh dan semua pengarah Kolej Vokasional di Terengganu, Pahang dan Kelantan.
Dua graduan Kolej Vokasional Zon Timur muncul sebagai pelajar terbaik iaitu Siti Maisarah Najwa Abdul Abdul Zahid dari Kolej Vokasional Kemaman bagi Diploma Teknologi Elektronik manakala Nor Amalin Sahiira Mohd Fikeri dari Kolej Vokasional Tanah Merah (Diploma Seni Kulinari).
Sementara itu, Dr. Ahmad Zubaidi dalam ucapannya turut menarik perhatian tentang usaha Kolej Vokasional untuk memastikan keberhasilan kebolehpasaran 70 peratus graduan di institusi-institusi dapat dicapai selepas enam bulan mereka menamatkan pengajian.
“Data kebolehpasaran bagi kohort 2016 telah mencapai 95 peratus dan bagi kohort 2017 pula 96.7 peratus. Sebahagian besarnya ditawarkan pekerjaaan semasa latihan sambil kerja (OJT). Ini menunjukkan pihak industri mengiktiraf kemahiran para graduan,”ujarnya. – UTUSAN ONLINE











