UMNO tidak akan lemah atau lumpuh - Utusan Malaysia

UMNO tidak akan lemah atau lumpuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berharap isu pemimpin-pemimpin keluar daripada UMNO tidak akan melemahkan apatah lagi melumpuhkan parti itu yang memerlukan mereka yang setia kepada parti untuk terus hidup.

Berikut merupakan kenyataan penuh beliau :

1. UMNO mengambil berat terhadap perkembangan politik negara ketika ini. Selaku Presiden UMNO, saya juga memandang serius situasi yang berlaku terutama kepada parti UMNO sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

2. Dalam keadaan ini, saya minta semua pimpinan serta ahli UMNO di semua peringkat agar bertenang, berlapang dada, terus yakin serta memberikan kepercayaan kepada pimpinan parti bagi menangani keadaan ini.

3. Sudah pastilah UMNO sangat kesal dengan tindakan beberapa ahli Parlimen UMNO, dan terkini Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman yang bertindak keluar meninggalkan UMNO.

4. Kita perlu mempunyai sikap yang ikhlas dan memiliki daya juang yang tinggi dalam memastikan kesinambungan perjuangan parti. Meninggalkan parti ketika parti sedang diuji bukanlah sikap yang terpuji dan boleh diteladani. Islam mendidik kita agar taat selagi mana tidak menyalahi apa yang dikehendaki oleh syarak.

5.Dalam keadaan ini, saya ingin nyatakan bahawa atas alasan apapun tindakan tersebut sangat tidak wajar dilakukan apatah lagi beliau dipilih sebagai wakil rakyat atas kepercayaan yang UMNO berikan. Meletakkan alasan kelemahan parti kerana agenda peribadi sesuatu yang tidak wajar dilakukan.

6.Kita akan mengadakan Perhimpunan Agung UMNO 2018 penghujung bulan ini. Saya harap ia tidak melemahkan kita malah saya ingin nyatakan bahawa selepas PRU-14, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh UMNO untuk mengukuhkan kembali keyakinan dan kepercayaan serta ahli serta rakyat kepada idealisme perjuangan UMNO.

7. UMNO akan tetap dengan asas perjuangan bagi memastikan keadilan sosial dan nilai kesejagatan dikekalkan sejajar dengan faktor kemajmukan di Malaysia. Kita tetap menjaga kepentingan Melayu dan bumiputera serta membela hak semua kaum dalam negara ini, kerana itu selagi wujud sokongan ramai, UMNO akan terus berjuang dalam apa keadaan sekalipun biarpun di situasi mencabar ketika ini.

8. Saya harap, isu ini tidak melemahkan apalagi melumpuhkan UMNO. UMNO memerlukan mereka yang setia kepada parti untuk terus hidup. Biarlah yang setia kepada semangat perjuangan sahaja yang tinggal bersama UMNO, dengan itu parti dan segala rancangannya akan lebih mudah ditadbir serta berjalan dengan baik.

9. Bagaimanapun dalam senario sedemikian, UMNO mengambil pendirian menerima keputusan mereka dan kita menghormatinya. Kita ucapkan selamat maju jaya dan semoga jalan pilihan mereka akan memberi kepuasan buat diri mereka.

10. Kepada semua pimpinan dan ahli parti kita mesti terus kekal bersatu padu dan bersama memastikan parti kekal relevan dalam landskap politik yang kian mencabar. UMNO ini sebuah perjuangan. Ini mesti diteruskan bersama para pejuang parti yang istiqamah dalam perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air tercinta. Andalah mata rantai perjuangan yang panjang.

11. Saya minta kita merapatkan saf dan melakukan usaha bersama agar UMNO bangkit semula menjadi parti kuat di negara ini. Saya yakin jika kita terus beradu semua pihak akan menghormati kita. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini