Mengimbau detik awal pembabitan, Ilia Iryani Shuib, yang mesra disapa Ilia, bermula dengan hobi gemar mencantikkan skuter tunggangannya ketika di universiti, yang diubah suai sepenuhnya sekitar 2008.
“Ketika belajar di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, saya aktif sebagai ahli jawatankuasa penganjuran beberapa program dan bertanggungjawab mencari penaja.
“Kebetulan saya perlu mencari penaja untuk pertandingan skuter tercantik. Saya berjaya mendapat tajaan kewangan dari syarikat pengeluar rantai motosikal, RK-M. Mereka turut menawarkan persembahan lagak ngeri daripada pasukan pelagak ngeri. Mahu dijadikan cerita, mereka juga menawarkan saya menjadi salah seorang pelagak ngeri, walaupun mereka tahu saya langsung tidak mempunyai asas. Mereka bersedia membantu saya menguasai teknik-teknik asas jika berminat.
“Umpama orang mengantuk disorongkan bantal, saya tidak mahu melepaskan peluang kerana saya sendiri gemar mencuba aktiviti-aktiviti lasak yang boleh mencabar kemampuan seorang wanita,” katanya ketika ditemui di Taman Rekreasi Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Meskipun hanya mahir menunggang motosikal setelah berusia 19 tahun, dia mula jatuh cinta dan mudah menguasai aktiviti lagak ngeri bermotosikal.
Melihat bakatnya boleh diketengahkan, syarikat tersebut menawarkan Ilia untuk menganggotai pasukan pelagak ngeri motosikal profesional.
Bermula dari situ, dia menjalani latihan secara bertauliah selama enam bulan menggunakan motosikal kapcai jenis Honda EX5 dan Yamaha Lagenda.
Ketika itu menurut Ilia, dia menjadikan profesion berkenaan sebagai kerja sampingan untuk mencari duit poket ketika belajar.
Menyedari bidang itu berisiko tinggi dan tidak mahu keluarganya bimbang tentang keselamatannya, dia merahsiakan aktiviti yang dilakukan daripada pengetahuan keluarga.
Namun, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah, apabila bapanya mula menghidu aktiviti lasak yang dilakukan.
Seperti diduga, seluruh ahli keluarganya menentang dan tidak merestui apa yang dilakukan.
“Teruk saya dimarahi ayah, bahkan semua ahli keluarga langsung tidak menyokong saya kerana mereka kata, bidang ini seolah-olah bermain dengan nyawa. Namun, saya tidak berputus asa meyakinkan mereka bahawa saya boleh berjaya tanpa mengabaikan aspek keselamatan.
“Suatu hari, saya ajak mereka untuk melihat saya beraksi di GP Motor Racing di Sepang. Mereka mula membuka mata selepas melihat saya membuat persediaan dengan cara yang betul, memakai pakaian keselamatan khas, dan persembahan yang dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Mereka akhirnya menyokong minat ini dan menganggap profesion ini sebagai platform untuk saya mengetengahkan bakat bukan dengan cara ‘merempit’ tidak tentu hala di jalan raya,” kata anak ketiga daripada enam beradik ini.
Pernah patah jari kerana kesilapan kecil
Selain mempelajari teknik-teknik baharu melalui rakan-rakan sepasukan, Ilia juga banyak membuat rujukan menerusi tontonan filem dan menerusi Internet bagi memperkemas lagi aksi lagak ngerinya.
Setakat ini, dia sudah menguasai beberapa teknik seperti wheelie, stoppie, donut dan drift.
Baginya, membuat lagak ngeri menggunakan teknik drift paling mencabar kerana perlu mengawal motosikal dalam kelajuan yang sangat tinggi dan pada masa sama mengawal berat badan seiring dengan kawalan minyak.
Ini bagi memastikan motosikal dapat dipecut dengan konsisten.
Ilia berkata, bukan mudah untuk menjadi pelaku lagak ngeri kerana setiap aksi yang dilakukan perlu dipelajari dengan betul supaya tidak mendatangkan kecederaan.
“Setiap kali ingin melakukan apa juga aksi, pelbagai aspek keselamatan diambil kira kerana kesilapan kecil akan mengundang bencana.
“Sebab itu, kesemua pelagak ngeri masih mengutamakan keselamatan walaupun mereka telah berpuluh-puluh tahun menceburkan diri dalam bidang ini.
“ Sama ada amatur mahupun profesional, kami terdedah dengan persekitaran baharu walaupun melakukan rutin aksi yang sama setiap hari,” katanya.
Bukan sahaja aktif membuat persembahan di depan khalayak ramai, wanita berasal dari Selangor ini, turut melakukan lakonan aksi lagak ngeri untuk beberapa filem tempatan seperti Adnan Sempit 2 dan Bro, Nampak Motor Gua?
Menurut Ilia, jatuh ketika membuat latihan adalah perkara biasa selagi tidak mendatangkan kecederaan, lagipun penunggang telah dilengkapi dengan topi keledar muka penuh dan pad keselamatan yang melindungi daripada sebarang luka.
Biarpun pernah tercedera sehingga jarinya patah akibat kesilapan kecil yang tidak sepatutnya dilakukan, wanita ini tidak patah semangat untuk beraksi.
Suami, anak-anak pembakar semangat
Mendirikan rumah tangga bersama rakan seperjuangan, Muhammad Amierul Hasraf, 24, setahun yang lalu, suaminya adalah insan yang banyak memberi sokongan.
Setia menemaninya sepanjang sesi fotografi berlangsung, ditanya bagaimana penerimaan terhadap kerjaya isteri, Muhammad Amierul mengakui, memberi lampu hijau untuk Ilia terus aktif dan sentiasa menyokong impian isterinya untuk membina kerjaya sebagai pelagak ngeri profesional.
“Saya mengenalinya selepas dia bergelar stuntgirl, jadi tiada sebab untuk saya meminta dia berhenti untuk melakukannya selepas berkahwin. Lagipun, saya tahu dia seorang yang berbakat besar dan boleh pergi.
“Memang pedih bila tengok isteri jatuh motosikal ketika berlatih, tetapi saya perlu menerimanya seperti dia menerima saya. Selagi dia tahu menjaga diri, menjaga keselamatan, dan menjaga batasan sebagai seorang isteri dan ibu, saya merestui kerjayanya,” katanya, yang turut bernaung bawah Benelli sebagai pelagak ngeri dan kini menjadi jurulatih tetap kepada Ilia.
Tambahnya lagi, mereka turut beraksi berdua di lapangan apabila diberi peluang, kerana aksi lagak ngeri berpasangan sangat jarang dipertonton.
Memiliki sepasang cahaya mata perempuan kembar yang baru berusia tujuh bulan, ternyata profesion Ilia tidak menghalang dirinya untuk bergelar ibu dan membina keluarga sempurna seperti wanita-wanita lain.
Ujar Ilia, apa yang penting adalah bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga agar kedua-duanya dapat dilakukan dengan baik.
“Apabila sudah memiliki anak, saya menjadi lebih bersemangat untuk membuat yang terbaik kerana saya mahu anak-anak saya nanti bangga dengan ibu mereka,” katanya.











