KUALA LUMPUR 18 Sept. – Telekom Malaysia Berhad (TM) memperkenalkan pelan UniFi 100 megabit sesaat (Mbps) baharu yang berharga RM129 sebulan tanpa had penggunaan.
Naib Presiden Eksekutif UniFi, Imri Mokhtar berkata, pelan baharu itu turut menawarkan akses pakej UniFi TV sepanjang masa dan 600 minit panggilan suara percuma.
Menurut beliau, pelan berkenaan menampilkan pelbagai tawaran lengkap bersama nilai hebat untuk para pelanggan kediaman.
“Kami terus berinovasi dengan mendengar maklum balas daripada pelanggan bagi memahami kemahuan mereka yang sentiasa menginginkan sambungan jalur lebar pantas tanpa had, pelbagai program hiburan dan kelancaran berhubung bersama keluarga serta sahabat.
“Menerusi pelan UniFi 100Mbps ini kami meletakkan penanda aras baharu untuk kelajuan jalur lebar dan kemampuan melanggan kerana harganya yang 60 peratus lebih murah berbanding pelan terdahulu. Kami percaya tidak lama lagi 100Mbps akan menjadi tahap kelajuan jalur lebar permulaan pilihan isi rumah di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Imri, setakat ini lebih 1.2 juta pelanggan di seluruh negara telah menikmati jalur lebar UniFi.
Katanya, pihaknya kini menyediakan pelan permulaan yang lebih mampu milik iaitu UniFi Basic yang berharga RM79 sebulan dengan kuota 60 gigabait (GB), sekali gus memberi perkhidmatan kepada segmen pasaran yang lebih besar.
“Kami percaya sambungan internet memacu rakyat Malaysia yang lebih bersifat digital dan membawa kepada perubahan besar dalam gaya hidup pengguna.
“Berdasarkan perspektif kami, pengguna mahukan gaya hidup digital bersepadu yang mana segalanya berada di hujung jari, walau di mana sahaja mereka berada dan pada bila-bila masa. Itulah yang kami tawarkan kepada mereka,” ujarnya.











