BEIJING 18 Sept. – China tidak mempunyai pilihan lain selain bertindak balas terhadap tarif dagangan baharu yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) sekali gus meningkatkan risiko berlakunya perang dagangan antara dua kuasa besar ekonomi dunia itu.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas beberapa jam Presiden Donald Trump melaksanakan 10 peratus tarif import produk China bernilai AS$200 bilion (RM828.7 bilion) dan mengugut mengenakan duti kira-kira AS$267 bilion (RM1.11 trilion) jika negara tersebut menyerang tindakan terbaharu AS itu.
Kementerian perdagangan dalam kenyataan itu berkata, bagi melindungi hak dan kepentingan dalam perdagangan bebas antarabangsa, China tiada pilihan selain bertindak dalam masa yang sama.
“AS berkeras untuk meningkatkan tarif, yang akan menyebabkan ketidakpastian dalam rundingan perjanjian dagangan dua hala. Dalam konteks ini, China berharap AS akan mengenal pasti apakah kesan negatif daripada tindakan mereka dan melaksanakan langkah yang meyakinkan bagi membetulkan tindakan mereka,” katanya dalam kenyataan itu.
Bagaimanapun, kementerian berkenaan tidak menjelaskan secara khusus tindakan yang akan diambil.
Dalam kenyataan semalam, Trump memberi amaran kepada China sekiranya mengambil tindakan terhadap peladang dan perindustrian AS, pihaknya akan meneruskan fasa ketiga secepat mungkin dengan mengenakan tarif tambahan sebanyak AS$267 bilion.
Bulan lalu, China melancarkan senarai tarif yang dicadangkan bernilai AS$60 bilion (RM248.61 bilion) ke atas produk AS daripada gas asli cecair hingga beberapa jenis pesawat, sekiranya AS mengaktifkan tarif bernilai AS$200 bilion.
Laporan South China Post yang memetik sumber berkata, China sedang mempertimbangkan cadangan menghantar delegasi ke Washington untuk berbincang mengenai keputusan AS.
Sementara itu, jurucakap kanan pasaran sekuriti berkata, tindakan dagangan AS ke atas China tidak akan berfungsi memandangkan China mempunyai fiskal dan monetari yang mencukupi untuk menampung impak tersebut. – REUTERS











