KUALA LUMPUR 18 Sept. – UMNO dinasihatkan untuk ‘memisahkan’ diri daripada bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengelakkan para pemimpinnya bertukar parti dan bukan berbincang mengenai kemungkinan bekerjasama dengan PKR.
Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, memisahkan diri daripada Najib lebih penting berbanding isu kerjasama UMNO dan PKR.
Chin Tong berkata demikian sebagai mengulaskan laporan akhbar yang menyebut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengatakan tidak mustahil kedua-dua parti berkenaan mewujudkan satu pakatan baharu yang dinamakan Pakatan Malaysia bersama Pas, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Bersatu Sabah.
Chin Tong yang merupakan Timbalan Menteri Pertahanan mendakwa, isu tersebut sengaja ditimbulkan Khaled kerana mahu mengelak daripada menjawab soalan bila UMNO akan memisahkan diri daripada bekas Perdana Menteri ke-6 itu.
“Dalam UMNO yang lebih penting ialah bagaimana mereka mengendalikan legasi Najib.
“Ini sebenarnya soalan yang mahu dielakkan oleh Khaled, itu sebab kenapa Khaled sengaja menimbulkan isu kerjasama UMNO dan PKR,” kata beliau kepada media selepas menghadiri forum Ekonomi Rakyat Siri 2 yang bertajuk Turmoil in Global Finance: Is Malaysia Vulnarable? anjuran Dewan Perniagaan Melayu Kuala Lumpur di sini hari ini.
Chin Tong berkata, isu kerjasama UMNO-PKR tidak timbul kerana mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 diberikan kepada Pakatan Harapan (PH).
Katanya, rakyat telah memilih pakej yang ditawarkan oleh PH iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamed sebagai Perdana Menteri; Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Kelapan.
Tegas Chin Tong, mandat itu membuktikan isu kerjasama UMNO-PKR seperti yang dikatakan oleh Khaled satu perkara yang tidak benar. – UTUSAN ONLINE











