Peranan penting kesatuan sekerja - Utusan Malaysia

Peranan penting kesatuan sekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESATUAN Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) menggesa kerajaan baharu Pakatan Harapan memberikan fokus kepada isu-isu dan masalah yang dihadapi oleh kaum pekerja dalam industri penerbangan di dalam negara. Sudah hampir enam tahun berada dalam industri ini, NUFAM telah bergiat aktif dalam pelbagai isu berkaitan pekerja.

Untuk makluman, selain menyentuh hal ehwal pekerja NUFAM turut terlibat dalam isu-isu polisi industri penerbangan. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan NUFAM telah berjaya menjadi ejen perubahan kepada industri ini yang mana banyak pihak telah mula mengambil berat terhadap masalah yang sering dihadapi oleh pekerja-pekerja industri penerbangan di negara ini.

Pihak media juga tidak terkecuali dalam membantu membangkitkan isu-isu berkaitan. Seperkara lagi, NUFAM juga telah membuka banyak ruang kepada pekerja untuk menyuarakan pandangan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam pada itu kami sedar, sebagai sebuah kesatuan kerja, NUFAM perlu memainkan peranan lebih besar bagi membantu pekerja mendalami pelbagai isu berkenaan industri penerbangan. Kami tidak mahu pekerja terlalu fokus dalam soal gaji tetapi juga perlu memahami lebih mendalam tentang isu-isu ekonomi serta masalah membabitkan industri penerbangan.

NUFAM maklum bahawa sebahagian besar pekerja hanya tertumpu kepada isu-isu semasa syarikat tetapi apabila mereka berhadapan dengan krisis yang lebih besar, ramai dalam kalangan mereka tidak tahu menahu punca krisis itu boleh berlaku.

Mengambil contoh, krisis pembuangan pekerja pada 2015 serta tragedi MH370 dan MH17. Itulah kali pertama para pekerja mula merasa risau dan bingung. Krisis-krisis inilah yang telah membuka mata pekerja kami.

Dalam perkembangan berkaitan, isu pembuangan pekerja Malaysia Airlines (MAS) tiga tahun lalu sebenarnya telah membuka mata banyak pihak betapa peritnya masalah tersebut untuk dikendalikan oleh kesatuan kami. Apa pun NUFAM perlu berdepan dengan situasi tersebut demi kebajikan ahli.

Lebih memeritkan lagi sebahagian besar mereka yang terlibat ini adalah rakan-rakan setugas kami. Sehingga hari ini kami masih mencari penyelesaian dan jawapan sebenar untuk mereka serta keluarga yang terlibat.

Yang pasti, ramai yang tidak menyangka syarikat besar seperti MAS boleh tutup dan membuang beribu pekerja. Bahkan peristiwa tersebut disifatkan sebagai satu detik hitam dalam sejarah industri penerbangan di negara ini. Tidak pernah dijangka keadaan itu boleh berlaku yang mana 6,000 pekerja lama dan baharu hilang pekerjaan mereka.

Kes seperti ini pernah dihadapi oleh Japan Airlines (JAL) dan Philippine Airlines (PAL) yang mana beribu-ribu pekerja mereka juga telah dihentikan pekerjaan. Detik detik ini harus dipelajari dan membuka mata ramai pekerja dan golongan industri yang terlibat. Masalahnya kita mudah dan cepat lupa.

Ramai pihak pekerja ini masih rasa marah dan menyimpan dendam ke atas apa yang berlaku. Kita tidak boleh lepas tangan atas masalah mereka malah harus menghulurkan bantuan untuk mencari pekerjaan lain. Inilah yang diperlukan hari ini buat pekerja ini.

Pembuangan pekerja juga berlaku dalam syarikat Rayani Air apabila 400 pekerja mereka juga telah hilang pekerjaan dalam tempoh lima bulan. Kes pembuangan mereka ini masih didengar dalam mahkamah hari ini.

Tetapi peliknya semua ini berlaku ketika ekonomi negara masih bagus dan berkembang. Negara kita sebenarnya tidak mengalami krisis kewangan atau kejatuhan nilai wang ringgit seperti tahun 1989 di mana banyak syarikat besar dan kecil tutup.

Malah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri berkata, apa yang berlaku itu adalah disebabkan syarikat penerbangan cuai dalam hal ehwal mengendalikan masalah pekerja dan juga menjaga kewangan mereka.

NUFAM dengan itu telah menjadi suara dan nadi kepada golongan pekerja yang terjejas dan yang ditindas. Masalah memang pelbagai tetapi kami tetap teguh bersama pekerja kami.

PENULIS ialah Presiden NUFAM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini