SEREMBAN – Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mengeluarkan sebanyak 1,614 notis kesalahan kepada individu yang mengingkari arahan larangan merokok di negeri ini bagi tempoh Januari sehingga hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 38 notis dikeluarkan di premis kerajaan, manakala baki 1,576 notis dikeluarakan di premis bukan kerajaan.
Menurut beliau, angka tersebut bagaimanapun menunjukkan penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 2,696 notis kesalahan mengikut Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
“Pada tahun 2018 sehingga 13 September ini, daripada 1,614 notis yang dikeluarkan, sebanyak 730 kompaun dibayar melibatkan kos RM403,500.
“Sementara baki 884 lagi notis yang tidak dibayar akan dibawa ke mahkamah untuk tindakan pendakwaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, Jabatan Kesihatan negeri akan terus memantau kesalahan yang dilakukan di bawah Perkara 11.1 peraturan sama iaitu merokok ditempat larangan merokok. – K! ONLINE











