SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan kira-kira 70 peratus pengundi akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan Seri Setia pada Sabtu ini.
DUN Balakong dan DUN Seri Setia masing-masing mempunyai keseluruhan 62,219 dan 52,650 pengundi berdaftar yang layak mengundi pada PRK tersebut.
Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, jangkaan peratusan keluar mengundi itu bergantung kepada ‘mood’ pengundi dan keadaan cuaca pada hari tersebut.
Beliau berharap kedua-dua PRK itu akan mencatatkan peratusan keluar mengundi lebih tinggi berbanding PRK DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu yang hanya merekodkan 49.4 peratus daripada 51,217 pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab.
“Bagi pihak SPR sendiri, kita telah melakukan beberapa inisiatif supaya pengundi keluar mengundi antaranya ialah membuat hebahan melalui Unit Bergerak Jabatan Penerangan.
“Kita juga menyeru supaya calon bagi kedua-dua parti menggalakkan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Dewan Serbaguna Ababil, Pangkalan Udara Subang dekat sini semalam.











