KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid memfailkan saman pemula terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tindakan SPRM tidak membenarkan untuk berjumpa peguamnya semasa direman berkaitan siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan dana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Hasanah memfailkan saman pemula itu menerusi Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co. pada 30 Ogos lalu dengan menamakan SPRM dan Kerajaan Malaysia selaku responden pertama dan kedua.
Peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Hasanah ketika ditemui berkata, semalam ditetapkan untuk pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizah Nawawi dan 24 September ini untuk mendengar permohonan saman tersebut.
Berdasarkan saman pemula itu, Hasanah menuntut perintah perisytiharan bahawa surat pemberitahuan dikeluarkan SPRM di bawah Seksyen 28A (8) (9) Kanun Acara Jenayah untuk menyekat hak pemohon daripada berunding dengan peguamnya sepanjang tempoh beliau direman adalah bertentangan dengan Fasal 5(3) dan Fasal 8 Perlembagaan Persekutuan.











