RASAH 4 Sept. – Seorang ahli perniagaan wanita dikenali sebagai ‘Datuk Anggun’ dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Seremban di sini hari ini selepas mengaku bersalah memperdaya seorang lelaki dalam urusan projek pembinaan rumah banglo, dua tahun lalu.
Majistret Mahyun Yusof membuat keputusan tersebut selepas Siti Norbahiyah Yahya, 43, yang juga seorang ibu tunggal mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapinya.
Mengikut pertuduhan, wanita terbabit didakwa memperdaya Mohd. Nazmi Nazer, 33, dengan menyerahkan tiga keping cek bernilai RM50,000 yang didaftarkan atas nama syarikat Juta Kelulut Global Sdn. Bhd. (Juta Kelulut Global) antara 31 Mac 2017 hingga 31 Mei 2017 kepada mangsa.
Bagaimanapun, ketiga-tiga cek terbabit tidak dapat ditunaikan oleh mangsa kerana tertuduh mengarahkan bank menghentikan pembayaran tersebut.
Ketiga-tiga perbuatan itu dilakukan di Nilai dekat sini, masing-masing pada pukul 12.30 tengah hari, 4.30 petang dan 1.30 petang.
Mengikut fakta kes, Mohd. Nazmi berurusan dengan Siti Norbahiyah yang merupakan pemilik syarikat Juta Kelulut Global pada 5 Mei 2016 berkenaan pembinaan rumah jenis banglo di tanah mangsa sendiri.
Dalam perjanjian jual beli serta dokumen lain yang ditandatangani pada 24 Jun 2016, mangsa telah membuat pembayaran sebanyak RM60,000 kepada syarikat terbabit.
Bagaimanapun, mangsa mengesyaki ditipu oleh tertuduh kerana wanita terbabit sering mengelak setiap kali ingin ditemuinya untuk bertanyakan perkembangan pembinaan rumah banglo tersebut.
Tertuduh berjanji memulangkan semula wang mangsa sebanyak RM57,000, manakala baki RM3,000 ditolak bagi urusan ukur tanah.
Mohd. Nazmi kemudiannya menerima tiga keping cek bagi tarikh berasingan berjumlah RM15,000 dan masing-masing RM17,500 daripada syarikat Siti Norbahiyah sebelum mendapati cek yang diberikan gagal ditunaikan kerana pihak bank menerima arahan daripada pemilik Juta Kelulut Global untuk menghentikan kemasukan wang.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Muhammad Azri mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Siti Norbahiyah yang diwakili peguam Noor Azizi Abdull Aziz merayu hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 27 September 2017.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 11 bulan bagi pertuduhan pertama dan masing-masing 12 bulan bagi pertuduhan kedua serta ketiga selain memerintahkan hukuman tersebut berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap.











