PULAU PINANG 26 Ogos – Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menegaskan amat penting bagi ahli PKR memilih kepimpinan parti yang menyokong Presiden , Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri dalam tempoh dua tahun lagi.
Rafizi berkata, setiap ahli PKR perlu ingat tujuan mereka menyertai parti berkenaan lebih 20 tahun lalu.
Katanya, bakal barisan pimpinan PKR bermula daripada jawatan Timbalan Presiden perlu menyokong padu Anwar selaku Presiden sekaligus memudahkan pentadbiran parti.
“Kita masuk parti untuk bawa semangat reformasi serta hendak ubah perkara yang tidak betul.
“Calon Timbalan Presiden sehingga struktur ke bawah perlu dipilih untuk menguatkan dan bukannya untuk bersaing dengan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Rafizi yang juga Naib Presiden PKR berkata demikian ketika berucap pada majlis Reformasi 20 tahun di sini malam ini.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, sekiranya barisan kepimpinan yang dipilih tidak menyokong Anwar, ia bakal memberi kesulitan kepada pentadbiran negara.
“Kita tidak mahu apabila Anwar jadi Perdana Menteri, wujud perbezaan di belakang membabitkan pemimpin parti sehingga tergelincir dan menjejaskan tumpuan beliau (Anwar) untuk bantu rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE











