BATU KAWAN – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak menolak kemungkinan berlaku kegiatan penyeludupan cili dari luar negara sehingga Malaysia menjadi lubuk lambakan cili.
Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata, sepatutnya mengikut garis panduan sedia ada, kerajaan hanya membenarkan 50 peratus bekalan cili diimport dari luar negara terutama dari Thailand dan Vietnam bagi memenuhi permintaan dalam negara.
“Memang kami import cili dari luar negara bagi memenuhi permintaan memandangkan sektor pertanian tempatan hanya mampu hasilkan 50 peratus permintaan sahaja dan sebelum ini lambakan cili hanya dikesan berlaku bermula Mac hingga Jun sahaja namun pada tahun ini berlarutan sehingga Ogos.
“Kami syak ada penyeludupan kerana jika pengimport yang betul sudah pasti mereka menghantar mengikut prosedur yang sepatutnya kerana mereka sedar risiko produk (lebihan) dan harga akan jadi lebih murah.
“Malah jika berlebihan, pengimport juga akan menghadapi risiko cili tidak dibenar dibawa masuk.
“Saya juga telah diarahkan untuk teliti semula pihak yang membawa masuk cili kerana yang dibawa masuk perlu ada permit import (AP) jadi kami boleh kesan mereka yang membawa masuk berlebihan itu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Batu Kawan Agropark di sini hari ini. – Bernama











