KUALA LUMPUR 18 Mac – Samsung Galaxy M20, yang disasarkan kepada pengguna muda dan aktif, akan dijual secara eksklusif dalam talian menerusi Shopee Malaysia mulai 20 Mac pada harga RM799.
Ketua Pernigaan Teknologi Maklumat dan Mudah Alih Samsung Malaysia Electronics, KM Liew berkata, dengan menimbangkan segmen sasaran ini, telefon pintar itu direka bentuk dengan kapasiti bateri 5,000mAh dan pengalaman kamera terbaik dengan harga jualan yang kompetitif.
“Di India, Samsung Galaxy M20 habis dijual dalam tempoh hanya beberapa minit selepas jualan pertamanya dan kami berharap mengulangi pencapaian yang sama di sini di Malaysia dengan Shopee,” katanya kepada pemberita pada pelancaran telefon pintar itu, di sini hari ini.
Telefon tersebut yang didatangkan dengan warna Hitam dan Biru Laut, mempunyai dwi kamera bahagian belakang – kamera utama dengan 13-megapiksel dan kamera kedua dengan lima megapiksel, serta kamera hadapan dengan lapan megapiksel.
Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, pelancaran telefon pintar itu akan diadakan bersempena dengan Hari Samsung Super BrandDay Shoppe pada 20 Mac bermula 9 pagi.
“Samsung Super BrandDay bermula di Filipina dan Indonesia, di mana semasa hari tersebut di dua pasaran itu, jualan barangan Samsung meningkat 40 kali berbanding hari biasa.
“Pada hari itu, Samsung akan mengambil alih keseluruhan laman Shopee daripada popup banner hinggalah kepada aplikasi,” katanya.
Ho berkata 1,000 pembeli pertama Samsung Galaxy M20 akan mendapat barangan eksklusif pembesar suara Logitech X50 (bernilai RM98) dan fonkepala JBL T450 (bernilai RM227) secara percuma manakala 2,000 pembeli seterusnya akan mendapat pembesar suara Logitech X50.
Selain itu, 100 pembeli pertama juga akan mendapat baucar tunai RM100 yang sah bagi membeli barangan di kedai rasmi Samsung di Shopee. – BERNAMA











