KLANG – Dua lelaki bukan sahaja kempunan menyamun seorang warga emas malah diberkas selepas menyamar sebagai anggota polis dalam kejadian di Taman Sentosa, Sabtu lalu.
Dalam kejadian pukul 1.45 petang itu, kedua-dua suspek berusia 25 dan 29 tahun ditangkap sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian dikatakan berlaku apabila mangsa seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun dibawa dari sebuah pangsapuri di Seksyen 31, Kota Kemuning, Shah Alam oleh salah seorang suspek dengan menaiki kenderaan.
Katanya, suspek yang menyamar sebagai anggota polis dari Pulau Pinang memaklumkan mangsa akan dibawa ke Sunway, Petaling Jaya.
“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan suspek telah kemudiannya memberitahu mangsa bahawa dia akan dibawa ke Balai Polis Sentosa sebelum berhenti di satu lorong di Taman Sentosa.
“Sewaktu tiba di lorong itu, seorang rakan suspek yang turut menyamar sebagai anggota dari sebuah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) sebelum memeras ugut mangsa menyerahkan semua barang berharga miliknya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, namun ugutan suspek itu tidak diendahkan dengan mangsa bertindak melawan sebelum ditumbuk oleh suspek.
Ujar Shamsul Amar, sepasukan anggota polis yang sedang melakukan rondaan di kawasan berkenaan kemudiannya menyedari insiden tersebut sebelum bertindak menahan kedua-dua suspek.
“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada wang atau barang berharga diserahkan kepada suspek.
“Pemeriksaan rekod mendapati kedua-dua suspek tersebut mempunyai 17 rekod jenayah lampau berkaitan jenayah kekerasan, pemerasan, ugutan, pecah rumah, samun dan berkaitan dadah,” jelasnya.
Beliau menegaskan, kedua-dua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 385 dan 170 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan dan menyamar sebagai penjawat awam. – K! ONLINE











