KUALA LUMPUR 18 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan tiga individu kerana dipercayai terlibat dalam dakwaan skandal projek melibatkan SSM yang dianggarkan bernilai RM30 juta.
Mereka yang ditahan terdiri seorang pegawai kanan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan dua pengarah syarikat IT terkemuka di ibu negara.
Kesemua mereka berusia 37 tahun sehingga 52 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11 pagi ini di pejabat dan rumah mereka di sekitar Petaling Jaya, Selangor serta ibu negara.
Menurut sumber, pegawai kanan berpangkat pengarah itu dikatakan telah bersubahat dengn dua syarikat IT terbabit bagi mendapatkan kelulusan menawarkan perkhidmatan perisian sijil diakui sah tanpa mengikut peraturan di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Ujarnya, dua pengarah syarikat terbabit pula dipercayai telah mengaut keuntungan dengan melakukan perkhidmatan perisian tanpa mengikut peraturan SKMM.
“Sehubungan itu, permohonan reman akan dilakukan terhadap ketiga-tiga mereka esok di Mahkamah Putrajaya bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
“Selain itu, SPRM tidak menolak kemungkinan terdapat satu lagi syarikat yang turut terlibat melakukan kegiatan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE











